My Atkins and TTC Journey

My Atkins and TTC Journey

Sunday, 10 May 2015

Pengalaman Mendaki Gunung Kinabalu

Alhamdulillah, akhirnya impian aku tercapai jugak nak menjejakkan kaki ke puncak kinabalu. Kiranya dah boleh tick la salah satu wishlist aku. Semuanya bermula bila aku outstation ke Sabah masa bulan November 2014. Kira ni first time aku sampai Sabah. Then bila aku tengok puncak kinabalu tu, hati aku meronta2 nak naik. Lagi pulak, aku tak puas duduk kat kinabalu dalam 3 hari tu. Jadi nak tak nak memang aku kena plan untuk naik kinabalu dan stay lama sikit di KK.

Macam biasa, aku memang suka guna media Group FB untuk cari group2 yang nak naik kinabalu. Alhamdulillah terjumpa la satu group yang memang tengah cari orang untuk mencukupkan orang. Urusan nak naik semua diuruskan oleh ketua kumpulan, aku cuma ready duit je. Tiket flight dan barang-barang keperluan hiking kena la beli sendiri.

Akhirnya 5 Mei 2015, berkumpul la kami ni KK park untuk mendaftar. Kali ni kami menggunakan trek Mesilau untuk naik ke KK. Ada dua trek, satunya timpohon dan satu lagi mesilau. Kalau lalu mesilau, jaraknya sejauh 8km untuk ke laban rata berbanding timpohon yang hanya 6km. Tapi bagi aku, better la ambil dari mesilau walau pun lebih 2km. Sebabnya? 1)Laluan dia ada turun dan naik, kalau dari timpohon, laluan dia naik saja, tak turun2. 2) Pemandangan yang jauh lagi indah sepanjang perjalanan, percaya la cakap aku. Kena apa aku tahu beza trek mesilau dengan timpohon? Sebabnya, masa aku naik ke puncak, aku guna laluan mesilau, tapi turun aku lalu timpohon.

Ok, sambung cerita, 5hb tu kami cuma register dan check in dekat hotel di mesilau. Dari KK park, agent akan hantar kita ke mesilau. Tidur dulu satu malam, esoknya baru start mendaki. Bagi yang nak jimat kos, aku rasa korang boleh sewa mana2 homestay sekitar kundasang tu dan pagi2 tu gerak la ke mesilau untuk mendaki. Waktu nak register dekat guide adalah pukul 8 pagi. 

Salah satu kelemahan bila hiking bercampur-campur jantina ni adalah, pihak resort akan letakkan orang dalam satu bilik yang sama. Jadi terpaksa la korang tido dalam bilik yang bercampur lelaki dan perempuan. Pandai-pandai la jaga diri.





Hari Pendakian - 6 Mei 2015 -  Mesilau - Laban Rata

Pukul 7 pagi kami dah mula bersarapan dan kumpul tenaga. Pukul 8 pula kami gerak ke office guide untuk register. Ada kemudahan porter disediakan bagi yang tak nak hangkut barang2 berat naik ke laban rata. Kalau menggunakan trek mesilau, kosnya RM12 sekilo. Aku yang sedar diri ini, memang dah ready barang siap2 nak bagi kat porter. Berat beg aku adalah 6kg, melayang la RM72. Tapi aku memang dah ready siap2 sebab tujuan aku nak naik kinabalu ni sebab nak berseronok, tak mau la terseksa angkat beg berat. Aku yakin bila dan penat mendaki nanti, nak angkat badan sendiri pun dah tak larat.

 Sarapan sebelum gerak

 Kusyuk dengar taklimat

Perjalanan melalui mesilau trail memang sangat mengujakan. Ada part yang kau akan lalu macam dalam cerita lord of the ring, ada part yang kau akan nampak puncak kinabalu..memang teruja sangat. Sila la tangkap gambar banyak2 untuk dijadikan kenangan.












Dalam perjalanan nak ke Laban Rata tu, boleh pulak hujan. Cuaca di Gunung Kinabalu ni memang tak boleh nak dijangka. Kadang2 hujan, kadang2 tak. Jadi ready kan ponco siap2. Mendaki dalam kesejukan memang tak best. Alhamdulillah, dalam pukul 5 petang kami sampai ke Laban Rata. Masa ni memang perut nak menari2 mintak diisi la. Dapat makan nasi berlaukkan kambing, memang sangat menyelerakan. Rasa nak nangis makan sebab perut dah lapar sangat...hahaha.




Dekat laban rata, hostel kami di Gunting Lagadan. Menangis wooo nak pergi sana. Jarak dia dengan tempat makan lebih kurang 150meter je pun, tapi sebab dah penat dan kehujanan, rasa macam 1km perjalanan. Bilik dekat Gunting Lagadan ni lagi la sempit, ada 4 katil je dan kitorang ni pulak berlima, terpaksa la ada yang berkongsi katil. Sebab dah penat sangat, tak heran apa dah, aku sempat jugak la mandi sikit untuk hilangkan bau kepam. Air dia, boleh bikin kebas satu badan, sejuk gile. Tapi disebabkan tak selesa dengan badan berpeluh, aku mandi jugak la. Budak2 laki, tengok katil memang terus hanyut la. Pukul 8 kami dah tidur sebab pukul 1 pagi dah kena bangun nak ready untuk ke puncak.

7 Mei 2015 - Laban Rata - Puncak

Pukul 1 pagi dah kena bangun dan bersiap. Memang tinggal gosok gigi je la sebab malam tadi dah mandi. Kena turun dulu ke tempat makan untuk ambil tenaga. Pukul 230 kami dah mula bergerak untuk ke puncak. Target aku nak kejar sunrise. Dalam pukul 6 dah kena sampai la maksudnya. Tapi memang aku tak sempat sampai pukul 6 la kt puncak, tapi still boleh tengok sunrise dari tempat aku berdiri sebab kawasan kat puncak tu luas.

Subhanallah, indah sangat permandangan dekat puncak. Kalau boleh menangis, memang aku menangis kat situ jugak. Pukul 7 lebih macam tu kami dah start turun ke Laban Rata dan dalam jam 9 kami sampai. Kena sampai before 1030 sebab kena check out. Lebih dari tu kena extra charge. Makanan ada disediakan, kami pun siap2 makan dan start turun ke timpohon dalam jam 1020. 

 




 

Alhamdulillah..pencapaian terbaik tahun ni.

Disebabkan lutut aku dah mula meragam, memang aku jalan slow2 sambil menikmati keindahan alam. Nasi baik si guide Raqib, temankan aku sepanjang jalan. Bersembang la kami sampai tak sedar dah sampai timpohon. Lebih kurang pukul 3 aku baru sampai bawah.

Kesimpulan yang aku boleh buat, pada yang mampu, sila la merasa naik gunung kinabalu. Aku jamin, bila korang dah sampai bawah, korang akan rindu dengan pemandangan indah dekat puncak kinabalu tu. Aku sekarang ni tengah meroyan la ni rindukan kinabalu....waaa...ok, nampaknya aku kena pindah Sabah la jawabnya...haha. Sebelum aku mengakhiri blog ni, harus la aku share apa barang2 yang perlu kau bawak masa nak mendaki gunung Kinabalu. Akhir kata, Good Luck bagi yang akan mendaki nanti.

Kelengkapan

Tshirt/Seluar/Tudung extra untuk di Laban Rata, mana tau hujan dan dan lenjun sebab peluh.
Long John (optional)/thermal wear - untuk kurang sejuk (aku beli online je)
Baju sejuk
Tuala Kecil  - dekat Gunting Lagadan tak disediakan tuala
Kasut Hiking 
Tongkat - penting bagi yang ada masalah lutut atau yang gayat
Headlamp - wajib
Mask - Sejuk sangat kat puncak tu (menyesal aku tak beli satu)
Ponco - penting kalau hujan
Stokin - 2 pasang ( 1 pakai, 1 extra), kalau boleh yang tebal macam stokin bola tu
Plastik sampah - bungkus baju dalam beg dengan plastik supaya tak basah kalau hujan
Coklat - untuk tenaga
Air mineral/100 plus - 1 liter mineral/ 1 botol 100 plus masa nak ke laban rata, 1 botol lagi masa nak ke puncak, 1 botol untuk turun

Tips sebelum mendaki Gunung Kinabalu boleh baca di sini ye Tips Mendaki Gunung Kinabalu

1 comment:

  1. wah bestnya baca pengalaman hiking gunung kinabalu...teringin jugak nak pergi lepas2 covid ni...

    ReplyDelete